
Peristiwa Ghazwah Bani Mustaliq pernah merekodkan satu pengalaman pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W, di mana Saydatina Aishah dituduh bermukah dengan Safwan bin Mu’attal, seorang Sahabat Nabi juga tentera Islam yang tabiatnya suka tidur selepas selesai berjuang di medan pertempuran. Di dalam sirah Ibnu Hisham, diriwayatkan Safwan bin Mu’attal memang suka tidur selepas perang sehinggalah beliau ditinggalkan keseorangan oleh kumpulan tentera-tentera Islam yang lain.
Namun, setelah Safwan tersedar daripada lenanya beliau mendapati Aishah, isteri Baginda S.A.W tertinggal keseorangan daripada kumpulan yang sepatutnya beliau bersama Rasulullah S.A.W menuju pulang ke Madinah.
Peristiwa itu menyebabkan kota Madinah gempar. Fitnah keji dan tuduhan jahat terhadap isteri kesayangan Nabi Muhammad S.A.W kedengaran merata tempat, di mana Aisyah, isteri Nabi S.A.W di tuduh berselingkuh dengan Safwan bin Mu’attal.
Tuduhan itu dirumus berdasarkan tindakan Safwan yang mengiringi Saydatina Aishah radhiAllahu anha sehingga tiba ke Madinah.
Peristiwa itu digunakan oleh Abdullah bin Ubai untuk melepaskan dendam dan benci nya terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengambil kesempatan, mencipta dan menaburkan fitnah terhadap isteri Baginda.
DAN...
Apa yang amat menyedihkan ialah apabila orang mukmin sendiri ikut menyebarkan cerita tersebut merata tempat sehinggakan rumahtangga Rasulullah dan Aisyah mula bergoncang. Ternyata, orang mukmin sendiri berani menyebarkan cerita tanpa terlebih dulu mahu usul periksa. Tidak takutkah mereka pada dosa Allah..?
Disebut oleh Ibnu Hisham di dalam sirahnya, fitnah tersebut menyebabkan Rasulullah melontarkan persoalan kepada Aishah di hadapan ibu bapa Aisyah sendiri, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya.”
Sedih Aishah mendengar teguran Baginda itu. Suara Baginda bagaikan guruh yang mengegarkan tiang langit. Tangisan Aisyah terhenti tiba-tiba kerana terkejut.
Persoalan bernada keraguan itu, menyebabkan Aisyah melontarkan perkataan yang membuktikan kejituan imannya kepada Allah Taala, “Aku tidak dapati suatu contoh perkataan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf AS;… "Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (maksud surah Yusuf ayat 18).”
Maka, turunlah wahyu ketika itu yang sangat menenangkan jiwa Baginda, yang boleh membersihkan nama Aisyah.. ayat itu laksana gerimis yang turun ketika kemarau yang panjang.
Firman Allah Taala :
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata; Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” – surah an Nur:12, al Quranul Karim
0 comments:
Post a Comment